PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membantu seberapa mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pendirian tersebut disampaikan Ahli Parlimen Pekan itu dalam Facebook beliau hari ini.
“Insya-Allah, saya akan membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara daripada segi Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Selamat bertugas, detik 100 hari bermula hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Najib memaklumkan, beliau memahami kekecewaan orang ramai terhadap pengumuman Kabinet baharu hari ini apabila seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah ‘Kabinet Kitar Semula’.
Bagaimanapun, beliau memahami Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat keputusan itu kerana mengelakkan perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini.
Namun begitu, kata Najib, sebenarnya hampir separuh kementerian kerajaan bertukar pemimpin antaranya membabitkan portfolio luar negara, kesihatan, pertahanan dan sains, teknologi dan inovasi.
“Selain itu, menteri-menteri bagi agama, undang-undang dan tugas-tugas khas Jabatan Perdana Menteri turut bertukar.
“Tapi saya percaya bahawa dasar Majlis Keselamatan Negara bagi pengawalan Covid-19 juga akan berubah sebab ketuanya telah bertukar. Jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir pelaksanaan dasar akan menghalangkan.
“Jadi harapan saya satu sahaja bahawa Kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian. Perdana Menteri akan menggugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










