PETALING JAYA: Pertembungan Sabah dan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini disifatkan sebagai perlawanan praseparuh akhir Piala FA.
Selepas aksi itu, skuad Badak dan Gergasi Merah bakal membuat perhitungan di separuh akhir Piala FA yang turut akan berlangsung pada bulan ini selepas mereka menyingkirkan lawan masing-masing di suku akhir.
Perlawanan Liga Super di Likas, akan menjadi misi serampang dua mata buat pengendali Sabah, Jean-Paul de Marigny dan ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel kerana selain memburu tiga mata, mereka juga pasti akan mengkaji pasukan lawan sebagai persediaan menghadapi Piala FA.
Memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, Sabah dilihat akan tampil dengan motivasi tinggi selepas kejayaan menundukkan Kelantan The Real Warriors (TRW) 3-1 pada aksi suku akhir Piala FA untuk mara dengan agregat 5-2.
Apa yang menjadi kerisauan Sabah ketika ini adalah berkenaan rekod kurang baik mereka di pentas Liga Super apabila masih belum meraih sebarang kemenangan dalam saingan itu selepas mengharungi tujuh perlawanan.
De Marigny menegaskan, fokus utama pasukannya adalah untuk membawa persembahan cemerlang di pentas Piala FA ke saingan Liga Super dan aksi berdepan Selangor menjadi peluang buat mereka menamatkan kemarau kemenangan dalam liga.
“Sekarang kami fokus kepada fasa seterusnya iaitu konsistensi, jadi kami akan bersedia untuk Sabtu ini (esok). Apa yang kami mahu wujudkan adalah disiplin kerana disiplin adalah aspek penting dalam menjadikan seseorang profesional,” katanya.
Selain Sabah, Selangor juga boleh dikatakan sedang bergelut dengan masalah prestasi tidak menentu selepas naib juara musim lalu itu berada di tangga ketujuh dengan mengumpul 10 mata.
Gergasi Merah tercicir mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur (KL) City di gelanggang sendiri, Ahad lalu sebelum tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir kedua Piala FA yang turut berlangsung di tempat sendiri.
Gamel bagaimanapun dilihat sudah melakukan persiapan awal untuk berdepan Sabah apabila merehatkan beberapa tonggak utama ketika menentang Negeri Sembilan.
“Perlawanan itu memberi pemain muda pengalaman yang berharga dan akan membantu pasukan bersedia untuk perlawanan seterusnya. Pada masa yang sama, proses ini juga adalah untuk kebaikan kelab dan pasukan,” jelasnya. – UTUSAN










