Pandelela sumbang pingat perak

Pandelela sumbang pingat perak

Pandelela Rinong melakukan terjunan acara 10 meter platform wanita pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong untuk mempertahankan emas acara 10 meter (m) platform wanita tidak kesampaian apabila sekadar meraih pingat perak pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Penerjun kelahiran Sarawak itu terpaksa akur apabila wakil Atlet Neutral (NAB), Ekaterina Beliaeva tampil cemerlang untuk muncul juara dengan catatan 252.20 mata.

Pandelela, yang beraksi dengan penuh berhati-hati pada setiap terjunan, menamatkan saingan di tempat kedua dengan pungutan 244.60 mata.

Pingat gangsa menjadi milik penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj yang mencatat 225.60 mata selepas menampilkan kebangkitan pada terjunan terakhir.

Atlet berusia 20 tahun itu tetap gembira dengan pencapaiannya, sambil menyifatkan pengalaman kali ini memberi keyakinan untuk menghadapi kejohanan lebih besar pada masa depan.

“Apa pun saya bangga dengan diri sendiri. Saya puas hati dengan prestasi saya. Kurang sikit itu berkemungkinan pada aksi petang (final). Jadi saya tidak menghukum diri saya sendiri. Saya rasa lebih baik dari sebelum ini,” kata Eilisha kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat di sini, semalam.

Untuk rekod, Pandelela memenangi emas acara sama pada edisi tahun lalu dengan catatan 252.80 mata.

Dalam acara 3m papan anjal lelaki pula, penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh turut berputih mata selepas terlepas emas pada terjunan terakhir.

Syafiq yang mendahului lima pusingan awal terpaksa akur di tangga kedua dengan 362.95 mata selepas dipintas wakil NAB, Gennaddi Fokin yang mengumpul 374.60 mata.

Pingat gangsa menjadi milik penerjun muda negara, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dengan catatan 338.95 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×