MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan pada Sidang Parlimen September ini kerana beliau yakin masih memiliki bilangan majoriti sokongan daripada ahli-ahli Parlimen.
Beliau juga menyatakan tidak takut untuk berdepan usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang sudah biasa dilakukan sebelum ini.
Beliau memaklumkan, penentuan membuktikan keabsahan kedudukannya dibuat pada bulan depan kerana perkara itu dipersetujui dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong dalam sesi menghadap baru-baru ini.
“Saya yakin sehingga hari ini walaupun ada pengumuman-pengumuman dibuat pihak tertentu yang konon tak menyokong saya, mungkin depan macam itu tapi belakang mungkin tak tahu.
“Ini masalah politik (yang) ramai pihak keliru. Jadi nak selesaikan perkara itu kita bawa ke Parlimen, saya mesti hadapi apa pun kemungkinan (kerana) saya tak takut dan bimbang tapi saya yakin (memiliki majoriti),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin kepada penghulu-penghulu untuk diberikan kepada keluarga yang dikuarantin di Bukit Pasir, di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan beberapa pihak yang mempertikai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri selepas sejumlah ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan dalam suasana semasa negara masih berhadapan Covid-19, sebarang perubahan mungkin boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memerangi pandemik itu.
“Apakah negara boleh menghadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan (atau) pertukaran dan (mungkin) suasana politik yang nanti kalut.
“Saya tidak kata saya ramal begitu, (tetapi) mungkin boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Negara dan langkah-langkah yang sedang diambil seperti proses vaksinasi dan sebagainya,” katanya.
Justeru, kata Muhyiddin, beliau menyerahkan kebijaksanaan dan budi bicara kepada ahli-ahli Parlimen untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya pada Sidang Parlimen nanti. – UTUSAN ONLINE










