Muhyiddin perlu kekal sebagai PM, selesaikan kemelut kerajaan-istana secara beradab - Utusan Malaysia

Muhyiddin perlu kekal sebagai PM, selesaikan kemelut kerajaan-istana secara beradab

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengemudi negara ini sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan ini atau sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Perkara itu antara cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) yang mewakili sebahagian besar ahli akademik seluruh negara dalam satu surat kepada Perdana Menteri hari ini.

Menurut Presidennya, Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd Nor, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang mendesak supaya Muhyiddin melepaskan jawatan sebagaimana disuarakan semasa Sidang Khas Parlimen dan desakan itu masih berterusan terutama pihak pembangkang walaupun banyak pandangan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau berkata, kemelut melibatkan kerajaan dan istana ketika ini memerlukan pendekatan penuh beradab untuk menjernihkan suasana berasaskan prinsip Rukun Negara bagi menjamin kehidupan rakyat terus aman, damai dan harmoni.

“Ada baiknya kerajaan dapat menguruskan hubungan dengan istana secara diplomasi dengan adab dan kesopanan. Kami bersetuju kenyataan media terbuka Perdana Menteri adalah perlu bagi menjelaskan keadaan ekoran kenyataan Istana Negara.

“Begitupun, kami dimaklumkan pihak Perdana Menteri telah mengadap Yang di-Pertuan Agong dan menyatakan permohonan maaf secara rasmi terhadap kekhilafan yang berlaku, tetapi kami berpandangan permohonan maaf secara rasmi yang dimaklumkan kepada seluruh rakyat seharusnya dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana kedukacitaan yang dizahirkan adalah menyentuh kenyataan beliau,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Roslan berkata, pihaknya juga mengesyorkan supaya kerajaan akur titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat diungkaikan secara rasmi di Parlimen pada satu waktu sesuai bagi memastikan keharmonian politik dan pemerintahan negara berterusan dan perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar.

Selain itu katanya, kenyataan media perlu dilakukan secara berhemah agar tidak mengeruhkan hubungan di antara institusi kerajaan dan istana.

“Kami tidak mahu saling berbalas kenyataan media ini terutamanya dari pihak istana kerana kita mahu menjaga institusi diraja agar pihak-pihak yang mahu mempergunakan institusi ini tidak ada ruang berbuat demikian.

“Kami percaya sebarang isu yang timbul boleh diselesaikan melalui kaedah perbincangan dan perundingan di antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan saranan agar Takiyuddin meletakkan jawatan memandangkan semua pihak perlu berlaku adil kepada beliau yang banyak berkorban kepada kerajaan.

Ini kerana beliau berkata, apa yang berlaku hanyalah kekhilafan dalam proses dan bukannya penentangan terhadap nasihat Yang di-Pertuan Agong, namun bagi mengelakkan masalah dalam hubungan kerajaan dengan Istana Negara, maka bolehlah difikirkan agar Takiyuddin ditukarkan ke portfolio lain dalam rombakan kecil Kabinet yang boleh memperkukuhkan kerajaan.

“Kami mendoakan Perdana Menteri diberikan kekuatan terus mengemudi perjalanan kerajaan dengan baik dan dapat memberikan fokus kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya