Muhyiddin negarawan utamakan rakyat, negara - Utusan Malaysia

Muhyiddin negarawan utamakan rakyat, negara

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak awal lagi mendambakan kestabilan politik supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun berkata, keadaan bertukar malang disebabkan ada pihak tertentu yang berniat merosakkan kestabilan dikecapi.

“Tindakan Tan Sri Muhyiddin menunjukkan beliau seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Malang buat negara kita kerana ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dan seluruh Kabinet hari ini menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka berkenan dengan keputusan itu serta melantik beliau sebagai ketua kerajaan sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Dalam perutusan khas di televisyen pukul tiga tadi, beliau mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas-petugas barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau menegaskan tidak sesekali mengorbankan prinsipnya untuk bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat dengan mencampuri bidang kuasa badan kehakiman.

Muhyiddin yang mengetuai pembentukan PN bukan melalui pilihan raya umum pada tahun lalu mempunyai sokongan hanya 100 ahli Parlimen iaitu kurang 11 untuk mencapai sokongan majoriti selain kehilangan sokongan majoriti 5 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongannya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, jasa dan pengorbanan Presiden Bersatu itu jelas dilihat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang berjalan dengan baik sehingga sektor ekonomi boleh beroperasi semula secara berperingkat.

Malah, jumlah bantuan yang diberikan kerajaan kepada seluruh rakyat negara ini sudah mencecah rekod yang tidak pernah disaksikan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Landasan yang disediakan oleh Muhyiddin sudah jelas. Pemimpin kerajaan selepas ini boleh menjangka kejayaan akan datang adalah hasil usaha disediakan beliau,” katanya.

Beliau turut berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat secara dalam talian mengenai langkah seterusnya sebagai kerajaan sementara atau caretaker government.

“Ahli-ahli Bersatu diseru bertenang dan memberi kepercayaan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi. Saya jangka timbalan presiden parti akan membuat pengumuman setelah keputusan dicapai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN