PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober manakala segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.
“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
“Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan,” katanya.
Tambah beliau, barisan Kabinetnya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit.
“Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,” katanya. – UTUSAN ONLINE










