Muhyiddin akui kadar vaksinasi di Johor masih rendah - Utusan Malaysia

Muhyiddin akui kadar vaksinasi di Johor masih rendah

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kadar vaksinasi di negeri ini diakui masih belum berada pada tahap yang memuaskan berbanding beberapa negeri lain disebabkan faktor pembekalan yang diterima adalah tidak mengikut waktu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu beliau telah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin untuk melihat situasi yang berlaku.

Terkini jelas Muhyiddin, perbincangan Khairy bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah mencapai persetujuan untuk meningkatkan penghantaran vaksin daripada 1.3 juta dos kepada 1.5 juta dos.

Justeru kira-kira 40 peratus populasi dewasa di Johor dijangka menerima vaksin sebelum 31 Ogos ini.

“Saya nak menyelesaikan (isu) vaksin di Johor kerana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ada bertitah perkara itu baru-baru ini di samping Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya sudah minta Khairy bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba melihat situasi di Johor seperti mana yang telah dibuat di negeri lain kerana saya lihat Johor masih ke bawah,” katanya.

Perdana Menteri mengulas titah Sultan Ibrahim yang menzahirkan kekecewaan baginda atas kadar vaksinasi di negeri ini yang masih rendah iaitu seramai 1,184,151 individu menerima vaksin dos pertama sehingga Isnin lalu.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda bersama Tunku Mahkota Johor sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

“Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat sendiri,” titah baginda.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau turut mengarahkan kedua-dua menteri berkenaan untuk mengadap Sultan Johor atau Tunku Mahkota Johor bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, jelas Perdana Menteri, ketidaktentuan bekalan vaksin turut memaksa kerajaan membeli bekalan tambahan seperti dari syarikat Pharmaniaga bagi menampung kelompongan yang berlaku.

“Dari sudut bekalan patut tak jadi masalah kerana kita dah tempah lebih 130 peratus daripada keperluan negara, makna dah ada lebihan tetapi (yang menjadi isu) tak sampai ikut jadual contohnya patut sejuta tetapi yang sampai setengah juta sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN