Motoyama puji bakat peminat bola sepak Malaysia - Utusan Malaysia

Motoyama puji bakat peminat bola sepak Malaysia

LEGENDA Blue Samurai, Masashi Motoyama, kini bersama Kelantan United FC dalam kancah Liga Perdana musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda Jepun, Masashi Motoyama memuji bakat-bakat peminat bola sepak Malaysia selepas menyaksikan cabaran menimang bola menerusi peraduan Piala Global Yakult 2021 yang bermula pada 10 hingga 31 Julai lalu.

Dalam pertandingan tersebut, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. bersama legenda Blue Samurai, Motoyama, yang kini bersama Kelantan United FC, mencipta tiga cabaran menimang bola dengan gaya berbeza dan sesuai untuk semua peminat bola sepak di negara ini.

Peserta dikehendaki menggunakan fungsi Remix Instagram Reels di mana skrin akan terbahagi kepada video reel yang asal dan video yang baharu.

Mereka kemudian perlu merakam remix dan diminta untuk melakukan timangan bola mengikut aksi Motoyama sambil menggabungkan teknik gaya bebas mereka tersendiri dalam kategori mudah dan sederhana.

Manakala untuk kategori Pro, Motoyama menetapkan aksi timbangan pada tahap kesukaran yang tinggi untuk peserta melakukan remix.

“Syabas kepada semua peserta. Saya rasa sungguh terhibur menonton semua video remix tersebut tetapi sukar bagi saya untuk membuat keputusan.

“Dengan itu, saya telah memutuskan untuk menilai berdasarkan usia dan usaha mereka. Kepada mereka yang tidak terpilih sebagai pemenang, saya memohon maaf sekiranya saya telah mengecewakan anda.

“Setelah keadaan menjadi pulih, saya menginginkan cabaran bersemuka dan bukannya secara maya,” ujar Motoyama dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata, pihaknya telah menerima penyertaan yang kompetitif daripada kanak-kanak sehingga peringkat dewasa.

“Para peserta sangat berbakat dan berjaya beraksi dengan baik walaupun terdapat maklum balas yang mengatakan bahawa cabaran timangan ini adalah sangat sukar,” kata Hamada.

Pemenang bagi kategori mudah adalah @jasonleefs sebagai juara, sementara naib juara pertama @saif-brothers dan naib juara kedua @putra_muhamad_isqandar.

Sementara itu, pemenang bagi kategori sederhana menjadi milik @muzaqoffical selaku juara, manakala naib juara pertama @syhmi_irfann dan naib juara kedua @yassimafeefrayyan.

Akhir sekali, pemenang untuk kategori Pro adalah @zhillmi sebagai juara, naib juara pertama pula @ajiq.o manakala naib juara kedua @azzamzlan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN