Persatuan Perubatan Malaysia Perak sumbang 2,000 PPE

MMA Perak sumbang 2,000 PPE

DR. M. PREMANANDA Raja (kiri) menyampaikan sumbangan PPE kepada Dr. Ding Lay Ming di pejabat kesihatan negeri di Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Perak menyumbangkan 2,000 peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM7,140 kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengerusinya, Dr. M. Premananda Raja berkata, peralatan itu disumbangkan kerana pihaknya menyedari keperluan mendesak petugas barisan hadapan susulan jangkaan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Dalam lawatan kerja Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ke Perak baru-baru ini, beliau menyatakan terdapat peningkatan kes Covid-19 di negeri ini di mana kes juga dijangka meningkat secara mendadak dalam dua hingga tiga minggu lagi.

“Keadaan ini sudah pasti akan meningkatkan penggunaan PPE, peralatan kesihatan dan bekalan perubatan. 

“Oleh itu, MMA Perak mengambil inisiatif membantu petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan 2,000 PPE selepas sumbangan sama diberikan kepada JKN Perak pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah JKN Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming di Pejabat JKN Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi set PPE terbaharu itu, MMA Perak menaja kos bahan fabrik ‘non-woven’ bernilai RM7,140 di mana ia dijahit oleh sebuah syarikat pembuatan tekstil, Eadeco Sdn. Bhd.

Katanya, peralatan tersebut diserahkan kepada JKN untuk diedarkan kepada bahagian- bahagian yang memerlukan.

“Bagi pihak MMA, kami akan terus membantu petugas barisan hadapan bukan hanya PPE tetapi juga keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ding berkata, sumbangan tersebut membawa makna yang cukup besar kepada pasukan perubatan dalam menangani pandemik Covid-19.

“Kami begitu menghargai sokongan daripada semua pihak terutama MMA Perak yang aktif menggerakkan kerja-kerja kebajikan seperti ini.

“Semua sedia maklum kita sedang berjuang melawan COVID-19, justeru kelengkapan ini penting bagi melindungi petugas perubatan yang terlibat secara langsung,” ujarnya.

Dana ‘MMA Perak COVID-19 Fund’ dilancarkan pada Julai lepas untuk mengumpul dana daripada orang awam bagi tujuan peralatan kesihatan, bekalan perubatan, PPE, vaksinasi COVID- 19 di Perak.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh disalurkan kepada ‘MMA Foundation – COVID 19’ melalui pemindahan terus atau cek ke akaun United Overseas Bank bernombor 2403035957 (Rujukan Penerima: MMA Perak Covid-19Fund).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN