Geng Logan tumpas, tiga suspek pecah rumah dicekup polis

Geng Logan tumpas, tiga suspek pecah rumah dicekup polis

CHRISTOPHER PATIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Logan selepas menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dalam beberapa tangkapan berasingan hasil risikan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan oleh Cawangan D4 (Risikan/Operasi), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 15 Disember lalu.

“Polis membuat tangkapan berasingan ke atas tiga suspek terdiri daripada dua lelaki berusia 33 dan 29 tahun serta seorang wanita berusia 24 tahun.

“Suspek lelaki ditahan di sebuah kedai barang antik di Jalan Munshi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, polis turut menjalankan rampasan susulan, membabitkan barangan kes di sebuah rumah di Pokok Mangga, Melaka.

“Hasil siasatan mendapati dua suspek lelaki adalah adik-beradik, manakala suspek wanita merupakan teman wanita kepada adik salah seorang suspek lelaki,” katanya.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk plat emas, wang syiling lama pelbagai mata wang, telefon bimbit, komputer riba, iPad, jam tangan serta peralatan pecah rumah,” ujarnya.

Christopher berkata, semakan rekod mendapati seorang suspek utama mempunyai 20 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Melaka Tengah.

Kesemua suspek direman sehingga 29 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×