PUTRAJAYA: Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dibekukan sejak 18 Mac tahun lalu, bakal disambung semula dengan syarat lebih ketat bermula Oktober ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia akan diurus Jabatan Imigresen Malaysia setelah semua proses perundangan selesai.
“Kabinet pada 14 Julai dan 30 Julai lalu bersetuju dengan cadangan penambahbaikan dasar baharu sebagai salah satu strategi pelaksanaan Program Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam sidang akhbar mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi mengumumkan peraturan baharu pelaksanaan MM2H di sini hari ini.
MM2H yang diperkenalkan sejak 2002, terpaksa digantung tahun lepas susulan penutupan sempadan negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dibawa masuk oleh warga asing.
Sejumlah 57,478 peserta termasuk tanggungan diluluskan dengan ramai dari China, diikuti Jepun, Britain, Bangladesh, Korea Selatan, Singapura, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, program MM2H sehingga 2019 lalu terbukti berjaya merangsang ekonomi negara dengan menjana pendapatan sebanyak RM11.9 bilion.
“Justeru, untuk kali ini tumpuan lebih kepada bakal pemegang pas MM2H yang berkualiti dan bukan lagi diukur dari segi kuantiti dengan ada 10 syarat tapisan amat ketat,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE