PETALING JAYA: Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan seorang Orang Kena Tuduh (OKT) telah meloloskan diri daripada kawalan pihak polis selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku di perkarangan Penjara Sungai Buloh ketika proses penghantaran tahanan sedang dijalankan.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menahan semula OKT berkenaan.
Menurut kenyataan itu, operasi pencarian sedang giat dijalankan dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan bagi memastikan individu terbabit dapat diberkas dalam masa terdekat.
“Semua agensi berkaitan telah dimaklumkan dan usaha mengesan OKT tersebut sedang dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan komitmennya untuk memastikan tahap keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati berlaku pelanggaran prosedur dalam kejadian tersebut.
“Siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan,” jelasnya. – UTUSAN










