MindX kurangkan impak psikologi semasa pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

MindX kurangkan impak psikologi semasa pandemik Covid-19

HASNI Mohammad menandatangani plak perasmian selepas tinjauan ke Klinik Kaunseling MindX di Pejabat YPKDT Bandar Segamat, di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Program perkhidmatan psikologi dan kaunseling secara dalam talian atau MindX diyakini mampu mengurangkan impak psikologi atau kesihatan mental terhadap rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, program tersebut juga secara tidak langsung akan dapat membantu memperkasakan pengurusan pandemik secara menyeluruh.

“Lebih-lebih lagi kepada mereka yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Mereka memerlukan sokongan dalam segenap aspek.

“Kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Justeru, langkah pencegahan pada peringkat awal amat perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah tekanan dan trauma pesakit,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Bandar Segamat di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia negeri, Hasrin Kamal Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Nurul Naqiah Fadzil.

Perkhidmatan kaunseling dan psikologi negeri Johor merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan oleh Hasni dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 baru-baru ini.

Dengan peruntukan sebanyak RM1 juta, program tersebut dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan memerlukan sokongan psikologi dan kaunseling.

Terdapat enam program yang dilaksanakan di bawah inisiatif itu, antaranya sesi kaunseling dalam talian, webinar, klinik kaunseling, pasukan bergerak kaunselor Johor dan kumpulan sokongan.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang program berkenaan boleh melayari laman web www.mindx.my.

Sementara itu, Hasni menyampaikan baucer makanan KFC sebanyak RM2 juta kepada Pengurus Besar Yayasan Johor Corporation (Jcorp), Noor Ruzilawati Ruddin di Pejabat Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat.

Penyerahan baucer itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah PRE Ihsan Johor 3.0 dengan Yayasan Jcorp dilantik sebagai agensi penyelaras.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN