KUALA LUMPUR: Pengamal media mula ‘berkampung’ di luar kediaman rasmi Perdana Menteri di Bukit Damansara, di sini petang ini bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi politik negara.
Lebih 20 pengamal media termasuk wartawan dan jurukamera pelbagai agensi dan berita tempatan mula berkumpul sejak pukul 4.30 petang tadi.
Ia susulan laporan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat tergempar, petang ini.
Sebelum ini, media melaporkan satu mesyuarat Kabinet tergempar akan berlangsung petang ini, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin difahamkan sudah hilang majoriti.
Memetik sumber Utusan Malaysia, mesyuarat yang diadakan di ibu negara itu akan dihadiri oleh menteri-menteri dan timbalan menteri.
Mesyuarat Kabinet itu diadakan selang 24 jam selepas Muhyiddin mengumumkan pelawaan rentas parti kepada parti-parti di luar PN untuk membantunya meraih undi percaya di Parlimen September ini.
Dalam perutusannya petang semalam, Muhyiddin menyatakan tujuh tawaran kepada Ahli Parlimen pembangkang bagi meraih sokongan supaya kerajaan PN kekal berfungsi.
Tinjauan di luar bangunan kompleks PMO mendapati, sehingga pukul 4.30 petang tadi, tiada kenderaan menteri atau timbalan menteri dilihat memasuki pintu utama ke kompleks berkenaan. – UTUSAN










