Mayat nelayan dijumpai terapung  - Utusan Malaysia

Mayat nelayan dijumpai terapung 

MAYAT nelayan tempatan dipercayai yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu ditemukan di Pulau Talang dekat Pantai Remis petang semalam. - IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Nelayan tempatan menemukan satu mayat dipercayai nelayan yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu di kedudukan lebih kurang 6.2 batu nautika barat daya Pulau Talang, kira-kira pukul 3 petang semalam.

Sejurus selepas mendapat maklumat tersebut, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan semula Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dengan mengatur gerak aset ke lokasi.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, aset Maritim Malaysia telah diarah ke titik koordinat bagi melakukan proses pengambilan mangsa bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dibawa ke jeti PPM Kampung Acheh, Sitiawan,  kira-kira pukul 5 petang.

Identiti mangsa, Amat Beramsah, 80, berasal dari Pulau Pangkor, disahkan oleh salah seorang anak mangsa dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia Daerah Manjung untuk dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan lanjut.

“Op Carilamat telah ditamatkan sepenuhnya oleh MRSC Langkawi pada pukul 7.30 malam tadi.

“MRSC Langkawi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi sahabat dan Komuniti Maritim lain yang telah terlibat dalam operasi dijalankan. Diharapkan kerjasama padu yang ditunjukkan sepanjang Op Carilamat dilakukan, dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang pada kedudukan lebih kurang 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Hantu, di perairan Tanjung Hantu, Segari, dekat sini 5 Ogos lalu.

Bot mangsa ditemukan nelayan tempatan tanpa pengemudi kira-kira pukul 11 pagi hari sama di sekitar kawasan tersebut.

Berikutan itu, Maritim Perak bersama MRSC Langkawi mengkoordinasikan Op Carilamat  bersama pelbagai agensi melibatkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM serta hampir 20 buah bot nelayan tempatan dengan keseluruhan kawasan pencarian menjangkau 111.64 batu nautika persegi merangkumi perairan Pulau Talang, Pantai Remis, dekat sini

Operasi itu bagaimanapun ditamatkan pada pukul 7.30 malam kelmarin selepas tidak menemui sebarang petunjuk kehilangan mangsa. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN