Maszlee persoal KPM, di mana bahan mengajar sedia ada? - Utusan Malaysia

Maszlee persoal KPM, di mana bahan mengajar sedia ada?

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempersoal Kementerian Pendidikan berhubung bahan-bahan pembelajaran milik kementerian itu yang bernilai hampir berbilion ringgit.

Beliau berkata, Portal Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) merupakan pelantar milik kementerian yang menawarkan perkhidmatan percuma di Google Classroom (GC) sejak menggantikan Pelantar Frog VLE setelah tamatnya kontrak 1Bestarinet pada 30 Jun 2019 semasa beliau masih menteri.

“Hampir lima juta murid dan 411,000 guru telah dibekalkan ID untuk mengakses portal DELIMa untuk mendapatkan bahan digital seperti Buku Teks Digital Asas (BTDA), Video On Demand, Video Kurikulum Portal EduwebTV dan pautan aplikasi percuma seperti Google Classroom, Canva.

“Bagaimanapun, saya berasa musykil ke mana perginya bahan-bahan digital multimedia eBahan dan Courseware KPM yang pernah dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan suatu waktu dahulu yang berada di ‘Moe Repository’ di Frog VLE (YTL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, sebelum waktu beliau di kementerian, bahan-bahan itu dahulu telah dibekalkan melalui CD ke sekolah-sekolah.

“Mewakili rakyat dan warga pendidik, saya ingin penjelasan daripada Menteri Kanan Pendidikan dan dua Timbalan Menteri Pendidikan.

“Di manakah repositori digital eBahan dan courseware interaktif bernilai hampir bilion ringgit yang telah dibangunkan melalui syarikat yang telah dianugerahkan sejak bermula wujudnya Sekolah Bestari dan Pembestarian Sekolah?

“Hakikatnya, bahan digital eBahan courseware yang telah dibangunkan oleh vendor kementerian sepatutnya boleh diakses melalui pelantar DELIMa dan boleh digunakan oleh guru dan murid-murid semasa berlakunya pandemik Covid-19.

“Bahan-bahan tersebut boleh mengurangkan tekanan guru bagi persediaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) untuk murid. Sekarang ini, majoriti guru terpaksa membuat kandungan baharu, walaupun bahan-bahan lama tersebut pernah ada dan boleh diguna pakai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi penghormatan kepada guru-guru di 10,224 buah sekolah yang terus komited memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada murid tetap dilaksana walau mereka terpaksa berhadapan dengan masalah liputan internet untuk mengakses bahan di sesetengah kawasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN