Mangsa banjir di PPS perlu jalani ujian saringan - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di PPS perlu jalani ujian saringan

KEADAAN banjir yang berlaku di di Matang dekat Taiping, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 semasa pendaftaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia adalah prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

“Prosedur itu mesti dipatuhi kerana ia bertujuan  mengesan sama ada mangsa yang dipindahkan mempunyai jangkitan Covid-19 atau tidak.

“Jika ada yang positif maka individu berkenaan perlu diasingkan dan mereka akan terus dihantar ke  Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya kepada pemberita pada sidang media secara atas talian, di sini hari ini.

Ditanya sama ada mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Taiping malam tadi sudah menjalani ujian saringan atau tidak, Saarani berkata, pihaknya belum mendapat sebarang laporan. 

“Saya belum dapat maklumat 102 mangsa banjir sudah menjalani ujian saringan atau belum pagi ini,” katanya.

Sementara itu, hari ini seramai 102 penduduk daripada 29 keluarga di lima kampung dekat Taiping terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat petang semalam dan malam tadi.

Dua PPS berkenaan adalah PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim al Baraqah di Matang (97 mangsa) dan PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru di Trong (16 mangsa)

Sementara itu, PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru di Trong yang dibuka pada pukul 12 tengah malam tadi, ditutup pada pukul 11 pagi ini.

PPS berkenaan sebelum ini menempatkan penduduk dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi, Trong selepas rumah mereka dinaiki air. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN