IPOH: Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 223 orang daripada 65 keluarga berbanding 186 orang daripada 57 keluarga petang semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, ia berikutan pertambahan mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Kerian.
Menurutnya, di Kerian setakat tengah malam tadi, seramai 44 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, meningkat 33 orang berbanding 11 orang daripada lima keluarga, petang semalam.
Mereka ditempatkan di situ selepas rumah masing-masing di Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Simpang Lima dinaiki air.
Menurutnya, mangsa yang ditempatkan di di PPS SK Changkat Lobak pula meningkat kepada 71 orang daripada 18 keluarga berbanding 55 orang daripada 15 keluarga.
Jelasnya, mereka adalah penduduk dari Kampung Matang Tengah dan sebahagian penduduk Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu. – UTUSAN ONLINE