Malas dah tengok statistik Covid-19 - Utusan Malaysia

Malas dah tengok statistik Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUDAH naik 21,000 kes balik. Apa dah jadi negara kita ini. Jangan cakap ini masih terkawal,” kata seorang rakan, pada Khamis lalu.

Saya terkejut. Bukan pasal jumlah itu. Dah boleh agak pun. Tapi, bukankah rakan saya itu sebelum ini beria-ia benar tidak mahu lagi ambil tahu pasal angka kes harian Covid-19?

Dia tersengih. Katanya, ‘tertengok’. Benda bukan boleh ditutup-tutup. Statistik harian Covid-19 sentiasa berlegar dalam media sosial. Buka Facebook, Twitter dan Instagram semuanya ada. Ramai juga yang kongsikan dalam WhatsApp.

Hakikatnya, walaupun ramai marah dan kecewa dengan bilangan kes hari­an Covid-19 yang terus mening­kat di negara ini sehinggakan sudah malas ambil ta­hu, mereka ini sama seperti orang lain, tetap bimbang. Tak nak ambil tahu, tak bermakna tak kisah. Pada masa ini, mana boleh kita hendak buat biasa-biasa saja, tanpa bercakap atau memikirkan tentang Covid-19? Ini pasal nyawa dan isu sejagat.

Dan ramai turut risau untuk keluar rumah dan bekerja dalam statistik yang menunjukkan pertambahan di setiap negeri. Umpamanya, keluar rumah sekarang macam bertarung nyawalah. Dulu, setahun lalu, walau kes di bawah 100, ramai begitu bimbang, mendesak sekolah ditutup dan dilaksanakan lockdown sepenuhnya. Apatah lagi ketika ini. Kes sudah melepasi 20,000 tetapi kita masih tidak tahu apakah sekolah tetap dibuka bulan depan? Macam main teka-teki pula.

Di negeri-negeri fasa 2 dan 3 yang diberi kelonggaran untuk rentas daerah dan makan di restoran bagi yang telah lengkap vaksin dua dos pun, kes begitu membimbangkan. Sampai bila kita akan melalui kitaran sekatan pergerakan dan terikat dengan fasa ini?

Khamis lalu pula, negara mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 318 dalam sehari! Dengan angka keseluruhan kematian 11,691. Sekarang, ada saja berita kematian dan kes ditidurkan akibat Covid-19 dalam media sosial. Kita jadi sedih dan murung. Soalnya, kenapa masih ramai suka bercakap, mendesak dan meminta kelong­garan untuk melakukan perkara-perkara yang biasa dibuat sebelum kita diserang Covid-19? Mahu rentas negeri dan daerah, mahu makan di restoran, walhal di rumah lebih selamat, mahu melancong tetapi bab sekolah mahu tutup pula?

Hakikatnya, dengan kes semakin tinggi di setiap negeri, termasuk Perlis yang sudah lama mencatat satu kes atau tiada langsung sebelum ini tetapi kini mencatat dua angka, kelonggaran masih belum sesuai dibuat ketika ini. Tunggulah kes turun. Tergesa-gesa untuk meraikan penerima vaksin yang lengkap misalnya, mungkin boleh membawa padah.

Lengkap vaksin bukan bermakna tidak boleh dijangkiti. Mungkin kesannya apabila terkena Covid-19 tidak seteruk orang yang belum divaksin tetapi boleh saja menjadi pembawa virus itu.

Sudah terbukti pun apa saja kelonggaran yang dibuat ketika kes Covid-19 masih mencatat dua atau tiga digit sebelum ini, seperti membenarkan merentas negeri yang membuatkan semua destinasi percutian penuh ketika dulu, telah menaikkan jumlah kes sehingga sekarang.

Itu belum cerita lagi bab merentas waktu perayaan dengan alasan kecemasan. Dan kluster yang wujud disebabkan akti­viti beraya. Tak diberi kelonggaran pun, boleh curi-curi langgar SOP yang akhirnya mengancam nyawa ramai.

Kesilapan lalu sepatutnya memberi pengajaran bukan untuk diulang tayang. Dalam saat genting ini, melakukan sedikit saja kesilapan akan mengundang kebinasaan. Amat tidak adil, ramai yang sudah lama berkurung terpaksa berterusan melalui lagi dan lagi kitaran PKP dan PKPD disebabkan memberi kelonggaran pada waktu yang tidak sesuai.

Dan tidak adil juga, ada pihak yang seronok melan­ggar SOP kerana memikirkan itu hanya undang-undang dunia, dan dengan kedegilan yang entah apa-apa itu akhirnya mencipta kluster demi kluster, yang bukan saja meragut nyawa tetapi membuatkan orang lain turut sengsara, hilang kerja dan hidup penuh tekanan.

Mungkin ada betulnya cakap-cakap – Ada orang, satu hari tidak menyusahkan orang lain, agaknya tak keruan hidup dia.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN