Iran mahu fasa baharu Selat Hormuz - Utusan Malaysia

Iran mahu fasa baharu Selat Hormuz

IRAN yakin akan menguasai selat sepanjang 167 kilometer yang merupakan laluan minyak dunia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei berkata, pengurusan Selat Hormuz akan pasti memasuki fasa baharu dan menyatakan Teheran akan menuntut pampasan bagi semua kerosakan akibat perang.

Mesej Khamenei itu dikeluarkan bersempena hari ke-40 sejak kematian bapanya, bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei. Beliau menyifatkan kematian itu sebagai tamparan besar dan bersejarah selain merupakan antara detik paling menyakitkan bagi Iran.

“Pengurusan Selat Hormuz pasti akan memasuki fasa baharu,” katanya, tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Beliau turut berkata, Iran akan menuntut akauntabiliti dari segi undang-undang dan pampasan atas segala kerosakan yang dihadapi negaranya termasuk darah para syahid serta mereka yang cedera.

“Kami tidak akan sama sekali membiarkan penceroboh jenayah yang menyerang negara kami terlepas tanpa hukuman,” katanya.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam sebelum Iran bersedia untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad di bawah pengantaraan Pakistan. Rundingan itu diadakan selepas  Presiden AS, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara kedua-dua negara bermula selama dua minggu sejak Selasa lalu.

Perang itu berlaku apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Teheran pada 28 Februari lalu. Menurut Al-Jazeera, angka awal korban ialah 2,076 maut di Iran. Sekurang-kurangnya 26 orang di Israel dan 13 askar AS turut terbunuh. Seramai 28 lagi turut terkorban di negara-negara Teluk.

Menurut sumber, rundingan tersebut akan membincangkan beberapa isu sensitif termasuk pengayaan nuklear Iran dan kelancaran perdagangan melalui Selat Hormuz.

Iran menyatakan rundingan itu bertujuan memuktamadkan butiran perjanjian berpotensi dan menyatakan ia tidak menandakan berakhirnya konflik. Malah, Teheran kekal bersedia bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut menyatakan komitmen terhadap gencatan senjata.

“Kami ingin memaklumkan bahawa angkatan bersenjata Republik Islam Iran tidak melancarkan sebarang serangan terhadap mana-mana negara sepanjang tempoh gencatan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

SELAT HORMUZ

Presiden AS, Donald Trump pada Khamis menuduh Iran melakukan tugas yang sangat lemah dalam membenarkan aliran minyak melalui Selat Hormuz dan melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.

Dalam beberapa hantaran media sosial yang mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kestabilan gencatan senjata, Trump turut memberi amaran kepada Iran supaya tidak mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui laluan strategik itu.

“Iran melakukan tugas yang sangat lemah, tidak berintegriti kata sesetengah pihak, dalam membenarkan minyak melalui Selat Hormuz. Itu bukan perjanjian yang kami capai,” kata Trump di platform Truth Social.

Iran dan AS sebelum ini menyatakan selat sepanjang 167 kilometer (km) antara negara Teluk dan Lautan Hindi itu akan dibuka semula selepas gencatan senjata diumumkan.

Namun, hanya 10 kapal dilaporkan melalui laluan itu sejak gencatan senjata perang Asia Barat berkuat kuasa, menurut data pemantauan maritim.

Ketegangan meningkat selepas Iran mencadangkan untuk mengenakan bayaran ke atas kapal. Cadangan itu dibuat walaupun Trump sendiri pernah mencadangkan perkara serupa termasuk bayaran bersama dengan Teheran.

CADANGAN

Cadangan 15 perkara yang dilaporkan dikemukakan oleh Washington dalam rundingan di Pakistan itu tertumpu kepada isu uranium diperkaya Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz.

Teheran pula mengemukakan pelan balas 10 perkara yang menuntut kawalan ke atas selat itu, pengenaan tol atau bayaran ke atas kapal yang melaluinya, penamatan semua operasi ketenteraan serantau dan pemansuhan semua sekatan.

Lubnan juga menjadi salah satu isu utama yang masih menghalang kemajuan rundingan.

Israel meneruskan serangannya di negara itu yang menyasarkan Hizbollah selepas gencatan senjata mula berkuat kuasa. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak kenyataan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif bahawa gencatan senjata tersebut turut merangkumi Lubnan.

Naib Presiden AS, JD Vance, dilihat mengambil nada yang lebih lembut dengan menyatakan bahawa mungkin berlaku salah faham yang munasabah dari pihak Iran bahawa Lubnan akan turut dimasukkan.

Sebelum ini, sumber Iran juga memberitahu media negara itu bahawa Teheran tidak akan menghadiri rundingan selagi gencatan senjata belum dilaksanakan di Lubnan.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, memberi amaran menerusi X bahawa serangan Israel ke atas Lubnan menjadikan rundingan itu tidak bermakna.

Iran juga sejak sekian lama enggan berkompromi dengan tuntutan Washington berhubung program nuklearnya. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN