SHAH ALAM: Lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM130,000 bagi projek jalan dan sekolah tahfiz pada tahun 2019.
Kesemua suspek berusia antara 37 hingga 45 tahun itu ditahan antara pukul 1.30 hingga 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Menurut sumber, sekitar 2019 hingga tahun lalu, suspek jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di negeri ini dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit.
Katanya, tindakan itu dipercayai bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.
Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.
Menurut sumber, seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9 pagi esok untuk permohonan reman.