JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan individu lelaki yang bertindak menikam perutnya sendiri dalam kejadian di Kampung Parit Ponorogo, Tangkak dekat sini semalam mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu berkenaan merupakan warga tempatan dan berusia 48 tahun.
Menurut beliau, lelaki berkenaan kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
“Berdasarkan pemeriksaan, lelaki berkenaan mempunyai rekod masalah mental dan dia sudah tidak mengambil ubat disediakan doktor sejak lima tahun lalu.
“Dimaklumkan dia mendengar suara-suara dalam kepalanya untuk berbuat demikian (menikam perutnya),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Semalam, satu video berdurasi 34 saat tular di media sosial menunjukkan lelaki itu terbaring dalam keadaan cedera parah pada bahagian perut di hadapan sebuah rumah.
Maklumat awal mendapati lelaki terbabit dipercayai bertindak demikian selepas mengalami tekanan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.










