PETALING JAYA: Seorang warga Myanmar dipercayai dikurung dan dirantai selama dua bulan selepas didakwa menipu 19 rakan senagaranya kerana gagal membawa mereka pulang ke negara asal.
Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun yang juga ejen penghantaran migran pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan dikurung kira-kira 19 rakan senegaranya.
Tindakan itu dipercayai susulan kesemua mereka berang selepas membayar antara RM3,000 hingga RM4,000 seorang kepada ejen terbabit untuk pulang ke Myanmar.
Bagaimanapun, selepas empat bulan berada di sebuah rumah transit di Taman D’ Impian, Balakong, mereka gagal dibawa pulang.
.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kegiatan berkenaan terbongkar setelah pihaknya melakukan serbuan kira-kira pukul 2 petang ini selepas menjalankan risikan selama dua minggu.
Katanya, dalam serbuan itu, seramai 18 migran warga Myanmar berusia 26 hingga 44 tahun ditahan dan menemukan seorang lelaki tempatan yang juga ejen menyediakan rumah transit serta seorang lagi lelaki Myanmar yang berperanan sebagai penjaga rumah berkenaan.
“Ada antara warga asing itu telah tinggal di rumah transit berkenaan selama empat bulan.
“Hasil siasatan awal mendapati mereka dikumpulkan dari seluruh negara sebelum dibawa pulang melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Fadil, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Katanya, semua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.- UTUSAN ONLINE