Lelaki cuba rasuah polis RM2,500 ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Lelaki cuba rasuah polis RM2,500 ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki berusia 20 tahun yang cuba merasuah anggota polis di sekatan jalan raya membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber memberitahu, lelaki berkenaan dipercayai berbuat demikian ketika diperiksa polis di Lebuhraya EDL menghala ke Jalan Bakar Batu pada 5 Ogos lalu.

Menurut sumber itu, lelaki berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 1 petang hari ini bagi membantu siasatan dijalankan.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah memberi wang rasuah sebanyak RM2,500 kepada seorang anggota polis sewaktu membuat sekatan jalan di Lebuhraya EDL menghala ke Jalan Bakar Batu.

“Suspek ditahan kerana dilihat mencurigakan dan semasa pemeriksaan badan dilakukan suspek telah memberi wang rasuah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas beliau yang disyaki menjadi ejen aktiviti pemerdagangan manusia,” jelas sumber itu.

Tambah sumber, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN