PETALING JAYA: Polis sedang mengesan 47 individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka dekat sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya setakat ini telah merakam percakapan seramai 11 individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tersebut.
Katanya, satu kertas siasatan turut dibuka berhubung perhimpunan itu mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan jangkitan) 2021.
“Polis juga memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan 47 individu yang sedang dikesan ini.
“Malah, sebanyak 19 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berkaitan perhimpunan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohamad Hermi Abu Bakar di talian 014-9099144 atau Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan seramai 11 individu termasuk penganjur hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan berkenaan.
Kesemua mereka tiba kira-kira pukul 9.40 pagi sebelum masuk ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan pada pukul 10 pagi.
Antara yang dipanggil adalah aktivis Suaram, Mohamad Al Shatri; Pengasas #Undi18, Tharmelinggem Pillai dan Qyira Yusri; Mohamad Asraf Sharafi; Sevan Doraisamy; Azura Nasron; Dobby Chew dan Beverly Joeman.
Tiga lagi individu turut dipanggil iaitu Asheeq Ali, Siti Nurizzah dan Syazwani Mahmud. – UTUSAN ONLINE










