BAGAN SERAI: Polis telah memanggil penganjur program pemberian durian percuma di Parit Buntar pada Jumaat lalu untuk diambil kenyataan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, penganjur program itu seorang lelaki berumur 39 tahun memberikan kerjasama dalam siasatan.
Menurutnya, lelaki berkenaan mengakui kesalahan kerana tidak dapat mengawal orang ramai yang hadir pada hari tersebut.
“Kertas siasatan sudah siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu ini. Kita tunggu keputusan dari Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Jumaat lalu, tular dalam media sosial gambar dan video orang ramai berpusu-pusu beratur tanpa mematuhi penjarakan fizikal ketika mahu mendapatkan buah durian yang diedarkan secara percuma oleh sebuah syarikat di bawah jejambat di Jalan Temenggong di Parit Buntar.
Berikutan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap menganjurkan program pemberian buah durian kerana melanggar SOP PKP.
Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa. – UTUSAN