KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 April ini untuk keputusan permohonan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Pada prosiding hari ini, Shamsul Iskandar diwakili peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan.
Terdahulu, Amer Hamzah ketika berhujah menyatakan terdapat kemungkinan akan timbul persoalan undang-undang berkaitan perlembagaan dan kesahan beberapa peruntukan di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).
“Antara persoalannya ialah sama ada kesalahan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM apabila dibaca bersama dengan Seksyen 19(1) dan 50(1) ASPRM akan mempunyai kesan kumulatif sehingga menafikan hak perlembagaan pemohon (Shamsul Iskandar) untuk mendapat perbicaraan yang adil,” kata peguam itu.
Selain itu, Amer Hamzah turut menghujahkan bahawa kes yang dihadapi oleh anak guamnya yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri sekarang merupakan satu kes yang mempunyai kepentingan awam dan akan memerikan kesan yang serius terhadap anak guamnya sekiranya disabitkan kesalahan.
Tambahnya, permohonan untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi tidak memprejudiskan mana-mana pihak.
Sementara itu, Farah Ezlin menghujahkan Hakim Mahkamah Sesyen berkelayakan daripada segi undang-undang, berpengalaman serta berupaya sepenuhnya untuk menangani isu-isu undang-undang yang kompleks termasuk persoalan perlembagaan.
Ujarnya, dalam kes tu, Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes itu, Suzana Hussin mempunyai pengalaman yang luas serta kepakaran khusus dalam perkara rasuah dan telah mengendalikan banyak kes seumpamanya.
Selain itu, pedakwaan menghujahkan tiada apa-apa alasan atau bukti yang menunjukkan bahawa beliau tidak berupaya untuk memutuskan sebarang isu undang-undang yang mungkin timbul.
Pada 4 Disember 2025, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau juga dituduh menerima RM40,000 secara tunai bagi tujuan sama, serta perabot dan peralatan elektrik masing-masing bernilai RM14,580 dan RM22,249.
Keesokan harinya, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima RM64,924 dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu firma yang mempunyai kepentingan Tei mendapatkan kelulusan sama.
Kes di Shah Alam kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu.-UTUSAN










