Kucing peliharaan Abdullah pun suka makan durian  

Kucing pun suka makan durian  

KAWANAN kucing peliharaan keluarga Abdullah Khalib sedang makan isi durian di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kebiasaannya buah durian digemari oleh kebanyakan manusia di negara yang mempunyai tanaman itu malah haiwan liar juga tidak terkecuali menceroboh kebun untuk makan buah tersebut.

Tetapi, hal yang berlaku agak aneh apabila kucing, iaitu haiwan peliharaan yang jinak cuma sinonim dengan nasi dan lauk ikan atau daging cukup berselera ‘menjilat’ dan menyaksikan cara makan isi durian sama seperti manusia dan haiwan liar lain.

Hal ini, seperti yang kita maklum khususnya pekebun kerap menjaga kebun buah durian masing-masing daripada diceroboh oleh beruang, lembu, babi, kelawar dan sebagainya yang lazim mencari makanan pada musim berkenaan.    

Seorang penduduk Kampung Bantal, Hulu Tembeling, Abdullah Khalib, 49, berkata, dia berasa hairan apabila lima ekor kucing jinak yang dipelihara sejak empat tahun lalu memang suka dengan isi durian.

“Sekiranya di luar musim, kucing saya cuma diberi nasi dan lauk kelaziman makanan ini setiap hari termasuk kerepek ubi, ikan dan coklat.

“Agak aneh, minat dan selera kucing ini bermula sejak saya pelihara bapa dan ibu (kucing) ini empat tahun lalu menyaksikan haiwan jinak ini amat berminat isi buah durian,” katanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, dekat sini hari ini.

Menurut Abdulah, dia menamakan kucingnya Tompok (kucing Jantan), Kelabu (ibu kucing) dan anaknya, Tam, Chimey dan Uda (cucu kucing) yang sangat pandai menghidu buah durian dan terus menerpa ketika dia tiba di muka pintu rumah selepas pulang dari dusun.

“Sebagai tidak menghampakan kucing ini yang mengekori ke dalam rumah dan merengek, saya terus membelah buah durian ini dan meletakkan di atas talam untuk memudahkan haiwan ini makan.

“Kucing ini makan isi durian seperti makan nasi dan lauk ikan, menjilat dan menelan satu persatu sehingga licin tinggal biji,” katanya.

Bercerita lanjut, Abdullah yang mempunyai tiga orang anak berusia 7 hingga 13 tahun berkata, begitulah perlakuan setiap hari ini apabila tiba musim durian, kucing peliharaannya lebih utama memilih raja buah itu dan kadang-kadang jarang menyentuh nasi dan lauk seperti kelaziman setiap hari.

Katanya, isterinya, Siti Haliah Nahar, 33 dan tiga orang anaknya kerap melayan kucing peliharaan keluarga itu makan isi durian sehingga selesai kadang-kadang habis dua biji durian yang bersaiz kecil.      

“Agak sukar juga apabila ketiadaan buah durian ini dan luar musim, kucing saya masih tidak melupakan buah durian kerana kerap kali menghidu isi tempoyak di dalam bekas terletak di ruang dapur.

“Perlakuan kucing ini agak aneh dan segala-galanya hanya ketentuan dan kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk dan hidupan di muka bumi ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN