Jurujual didenda RM5,500 simbah cat pada dua kenderaan dan dinding rumah

Jurujual didenda RM5,500 simbah cat pada dua kenderaan dan dinding rumah

CHAN Zhi Guang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyimbah cat merah kepada kenderaan dan dinding rumah di Gelang Patah, Johor Bahru Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang jurujual didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan menyimbah cat ke atas dua kenderaan dan dinding rumah, bulan lalu.

Majistret Atifah Hazimah Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chan Zhi Guang, 33, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna merah pada cermin serta bonet hadapan dua kenderaan jenis Honda HRV milik seorang lelaki berusia 35 tahun sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2,200 di sebuah rumah dekat Eco Garden, Gelang Patah di sini, pada pukul 4.15 pagi, 26 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada seorang wanita berusia 36 tahun dengan membinasakan harta iaitu dengan cara menyimbah cat merah di hadapan rumah di sebuah condominium dekat Jalan Cenderasari 2 di sini, kira-kira pukul 3 pagi, 22 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. Bagaimanapun tertuduh mohon dikenakan denda rendah memandangkan hanya berpendapatan RM2,500 sebulan selain menghidap darah tinggi.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain memerintahkan tertuduh dipenjara masing-masing 12 bulan dan empat bulan, jika gagal membayar dua denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN