Tambang RTS Link dibincang suku ketiga tahun ini

Tambang RTS Link dibincang suku ketiga tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tambang bagi perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodland, Singapura dibincang antara kedua-negara bermula suku ketiga, tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tambang pengangkutan tersebut perlu memastikan syarikat operasi iaitu RTS Operation (RTSO) Ptd. Ltd., dapat menampung kos operasi.

Menurut beliau, RTSO merupakan sebuah syarikat kerjasama antara Malaysia dan Singapura, sekaligus sebarang keputusan berkaitan tambang perlu dipersetujui kedua-dua pihak.

“RTSO sedang buat perbincangan dan mereka akan maklumkan kerajaan kedua-dua pihak, seterusnya perlu ada proses kelulusan melibatkan pihak berkuasa kedua-dua negara, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi pihak Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Singapura.

“Soal berkenaan tambang kemudian akan diumumkan sebelum perkhidmatan ini beroperasi menjelang Januari tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke tapak Stesen Bukit Chagar, RTS Link di sini hari ini.

Pada masa sama, Siew Fook turut memberitahu pengenalan sebarang pas bermusim bagi perkhidmatan rentas sempadan itu tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan semua pihak terlibat.

“Pengenalan pas bermusim melibatkan pemberian subsidi, jadi sekiranya ia diperkenal pastikan pas bermusim di Malaysia akan beri manfaat kepada rakyat tempatan, manakala pas bermusim di Singapura beri manfaat kepada rakyat mereka.

“Kita alu-alukan perkara itu, tetapi mana-mana pihak yang mahu memperkenalkan pas bermusim perlu mengadakan perbincangan dengan RTSO selaku operator perkhidmatan ini,” katanya.

Mengulas kesan ketegangan Asia Barat kepada peningkatan kos, Siew Fook yakin perkara itu tidak menjejaskan pembinaan RTS Link yang kini telah memasuki fasa akhir.

“Bangunan dan kerja-kerja fizikal sudah hampir siap 100 peratus, apa yang tinggal ketika ini adalah pemasangan sistem dan integrasi sistem yang melibatkan pelbagai agensi berlainan.

“Kita komited dengan pelaksanaan projek ini dan situasi itu (ketegangan di Asia Barat) diyakini tidak akan menyebabkan berlaku peningkatan kos atau penangguhan projek,” katanya.

RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang empat kilometer yang menghubungkan dua stesen, iaitu Bukit Chagar, di sini dan Woodlands North, Singapura dengan kapasiti 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN