Krisis air Terengganu pulih berperingkat mulai Sabtu - Utusan Malaysia

Krisis air Terengganu pulih berperingkat mulai Sabtu

MAMAD Puteh (tengah) mendengar taklimat pasukan teknikal mengenai kerja-kerja pembaikan paip pecah di dasar Sungai Terengganu di pejabat Satu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kesemua 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) di daerah ini dan Kuala Nerus bakal menikmati semula bekalan air secara berperingkat mulai Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, tempoh itu terpaksa dilanjutkan berbanding jadual asal esok berikutan pelaksanaan kerja-kerja luar jangka.

Katanya, pihak kontraktor dan pasukan teknikal mengalami kesukaran untuk menyelesaikan baki kerja-kerja pembaikan termasuk kimpalan pada paip berikutan arus deras dan kekeruhan sungai.

“Halangan tersebut menjejaskan penglihatan anggota yang sedaya-upaya membaiki kerosakan major pada paip bersaiz 1,200 milimeter yang pecah membabitkan tangki utama Berangan.

“Bagi pihak kerajaan negeri saya memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas dengan krisis air terburuk ini dan saya berharap situasi akan kembali pulih mulai Sabtu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Satu, Burhanudin Hilmi Mohd.@Harun.

Mamad berkata, gangguan bekalan air dijadualkan pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam, Isnin depan.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kejadian paip pecah itu termasuk dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti mengorek pasir.

“Jawatankuasa khas dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu turut melibatkan  pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Satu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN