PUTRAJAYA: Sebanyak 252 kes kematian Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah kes kematian kini mencecah 15,802 kes dengan kematian tertinggi di Selangor iaitu 91 kes, Johor (46) dan Kuala Lumpur (26).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 18 kes kematian pula direkodkan di Kedah, masing-masing 17 kes di Sabah dan Pulau Pinang, 13 kes di Melaka, tujuh kes di Perak, enam kes di Pahang, lima kes di Sarawak, tiga kes di Negeri Sembilan, dua kes di Kelantan dan satu kes di Perlis.
Kata beliau, ia termasuk 32 kes kematian di luar hospital dengan 21 adalah warganegara manakala baki 11 bukan warganegara.
Tambahnya, kes aktif pula sebanyak 268,548 kes dengan 986 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 451 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sebanyak 19,492 kes sembuh menjadikan jumlah kes sembuh terkini sebanyak 1,401,160 kes,” katanya dalam kenyataan.
Berhubung kes harian, Noor Hisham berkata, daripada 22,597 kes yang dilaporkan,
sebanyak 22,129 kes (97.9 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala 468 kes (2.1 peratus) kategori 3, 4 dan 5 berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19.
“Secara keseluruhan, 17,345 kes (76.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi dengan kategori 1 (8,182 kes), kategori 2 (8,794), kategori 3 (168), kategori 4 (79) dan kategori 5 (122).
“Bagi kes yang lengkap vaksinasi pula, sebanyak 2,423 kes dalam kategori 1, kategori 2 (2,730), kategori 3 (58), kategori 4 (22) dan kategori 5 (19),” katanya.
Menurut beliau, kes harian negara masih melepasi angka 22,000 dengan 22,597 kes semalam menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 1,685,510 kes.
Selangor merekodkan sebanyak 5,814 kes, diikuti oleh Sabah sebanyak 2,834 kes dan Sarawak 2,427 kes.
“Kedah (2,162 kes), Pulau Pinang (1,920 kes), Johor (1,896 kes), Kelantan (1,289 kes), Kuala Lumpur (1,111 kes), Perak (1,061 kes), Terengganu (739 kes), Pahang (579 kes), Negeri Sembilan (345 kes) dan Melaka (269 kes).
“Perlis pula (98 kes), Putrajaya (48 kes) dan Labuan (lima kes),” katanya.










