RANTAU PANJANG: Taktik penyeludup menjadikan sebuah rumah kosong di kawasan kampung sebagai lokasi transit untuk menyimpan sebanyak 5,710 karton rokok seludup bernilai lebih RM950,070 termasuk cukai, terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu kediaman tersebut di Kampung Pasir Panji dekat Tanah Merah, tiga minggu lalu.
Serbuan kira-kira pukul 2.10 petang pada 7 Disember lalu itu dijalankan selepas JKDM Kelantan membuat intipan selama dua minggu di rumah tersebut.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa serbuan dijalankan, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang terpaksa memecah pintu rumah berkenaan kerana kediaman tersebut berkunci dan tidak berpenghuni.
Katanya, pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan 5,710 karton yang berisi sebanyak 1.142 juta batang rokok seludup.
“Siasatan lanjut mendapati, rumah tersebut dipercayai dijadikan sebagai transit untuk menyimpan rokok-rokok tersebut selepas diseludup dari negara jiran.
“Sindiket penyeludupan menggunakan modus operandi dengan menjadikan rumah kampung sebagai tempat untuk menyimpan rokok seludup yang bernilai RM950,070 termasuk cukai sebanyak RM771,570 sebelum ia dijual ke pasaran negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasa JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, intipan dan serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan penyeludupan rokok seludup di rumah tersebut.
Katanya, JKDM Kelantan masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik rumah tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










