GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini memberi keterangan kepada polis berhubung perarakan di Dataran Merdeka, baru-baru ini.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, sesi tersebut berlangsung selama 45 minit iaitu bermula pukul 10 pagi tadi bertempat di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, di sini.
“Saya telah selesai memberikan kenyataan kepada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Dearah (IPD) Timur Laut pada pagi ini berhubung siasatan terhadap perhimpunan Ahli-Ahli Parlimen yang berlangsung di ibu negara pada 2 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain Kon Yeow, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut memberi keterangan berhubung isu sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pagi ini.
Rayer tiba di IPD Timur Laut kira-kira pukul 9.45 pagi dan selesai memberikan keterangan dua jam kemudian.
Dua Ahli Parlimen itu diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan danPengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Difahamkan, selain Rayer, pemimpin DAP yang lain seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan memberi keterangan berhubung isu sama kepada pihak polis esok.
Pada 2 Ogos lalu, Rayer dan Kon Yeow merupakan antara Ahli Parlimen yang menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Turut menyertai perarakan tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung isu sama. – UTUSAN ONLINE










