Kit Siang persoal Khairy Jamaluddin kes jangkitan, kematian masih tinggi  - Utusan Malaysia

Kit Siang persoal Khairy Jamaluddin kes jangkitan, kematian masih tinggi 

LIM KIT SIANG dan KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diminta menjelaskan punca negara masih merekodkan kes kematian tinggi dan lonjakan kes jangkitan harian baharu Covid-19. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri dari DAP, Lim Kit Siang berkata, situasi itu berlaku walaupun kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini sudah mencapai 44.5 peratus populasi. 

Beliau berkata, hal tersebut juga berdasarkan kedudukan Malaysia yang berada di tangga keenam dunia bagi kes harian baharu Covid-19 dan  ketujuh di dunia untuk kes kematian harian akibat pandemik tersebut. 

“Jika dibandingkan negara luar seperti Perancis, Sepanyol, Itali dan Jerman, negara-negara Eropah malah United Kingdom yang pada awalnya menunjukkan prestasi buruk kini mencatatkan kes harian baharu dan kematian lebih rendah sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasinya. 

“Beliau juga perlu menjelaskan mengapa untuk enam hari berturut-turut negara merekodkan kes harian baharu lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Filipina meskipun negara berkenaan mempunyai jumlah penduduk lebih ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Berdasarkan laman sesawang Our World in Data, Malaysia ‘menewaskan’ semua negara ASEAN dan Asia untuk kes baharu persejuta penduduk pada 28 Ogos lalu dan mendapat markah sebanyak 689.43 iaitu 10 kali ganda kadar purata dunia sebanyak 68.39. 

Dalam pada itu, Kit Siang mempersoalkan bila Khairy akan mengumumkan dasar baharu yang berlandaskan data dan sains selain menerapkan pendekatan dan strategi keseluruhan kerajaan serta  negara melibatkan mobilisasi seluruh rakyat. 

“Pemergian beberapa pemimpin akibat jangkitan Covid-19 seharusnya membuka mata Kabinet dan rakyat Malaysia tentang kepentingan memberikan tumpuan tunggal terhadap kemenangan dalam perang melawan Covid-19 dan mengakhiri peningkatan kes berterusan, kemusnahan mata pencarian dan ekonomi negara akibat wabak,” katanya. 

Untuk rekod, bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri, Tun Sakaran Dandai; bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin antara beribu kes kematian dilaporkan akibat Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN