Kestabilan politik, kadar vaksinasi pemangkin pertumbuhan ekonomi - Utusan Malaysia

Kestabilan politik, kadar vaksinasi pemangkin pertumbuhan ekonomi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin faktor kestabilan politik dan kadar vaksinasi semakin tinggi serta meluas menjadi pemangkin Malaysia untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi lebih pesat sekali gus bakal dinikmati oleh seluruh rakyat.

Perdana Menteri berkata, pasaran pelaburan telah menunjukkan kadar pertumbuhan yang amat memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

“Salah satu daripada misi utama pihak kerajaan adalah untuk mengembalikan ekonomi negara di landasan yang betul setelah terjejas sebegitu lama akibat pandemik Covid-19.

“Saya yakin faktor kestabilan politik dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi dan meluas menjadi pemangkin untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan bakal dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian mengumumkan pembentukan Jemaah Kabinet baharu dengan membabitkan 69 ahli Parlimen dan Senator dengan 31 daripada mereka dilantik sebagai menteri manakala 38 lagi dilantik sebagai timbalan menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, sejajar dengan perkembangan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pelbagai wakil sektor perindustrian, dewan perniagaan dan usahawan belia.

Kata beliau, ia bertujuan untuk mendapatkan kerjasama mereka di dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN