Kes tembak TUDM: Telefon bimbit mangsa dianalisis - Utusan Malaysia

Kes tembak TUDM: Telefon bimbit mangsa dianalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menganalisis telefon bimbit milik mangsa kes tembakan melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Sarawak, 13 Ogos lalu, bagi membantu siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kesemua telefon bimbit itu telah diambil dan dihantar ke Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses analisis bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian.

“Selain itu, sampel barang kes meliputi sampel asid deoksiribonukleik (DNA), senjata api dan kelongsong peluru juga telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisis saintifik.

“Kita sedang menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya setelah siasatan lengkap dan laporan pakar diperoleh.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Aidi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan berlaku insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

Anggota terbabit adalah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu dan Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi anggota, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, yang berasal dari Siniawan, Bau, meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di perut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN