PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 201 diberkas dengan 180 dikompaun manakala 21 lagi direman.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 60 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati masih ingkar SOP.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,971 kilang, 16,151 premis perniagaan, 1,020 tapak pembinaan dan 312 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 12 pendatang tanpa izin turut ditahan dan dua kenderaan darat dikesan semalam melalui Operasi Benteng selain 918 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara.
Menyentuh kuarantin wajib, kata beliau, 557 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 266,919 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.
“Sejumlah 10,077 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 578 peruncit, 153 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan 2,379 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terbabit didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE