Kes Covid-19 meningkat di Perlis, jumlah pesakit 'melimpah' di HTF

Kes Covid-19 meningkat di Perlis, jumlah pesakit ‘melimpah’ di HTF

PENGGUNAAN katil bagi pesakit Covid-19 di PKRC di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis sudah mencapai 101.5 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peningkatan ketara jumlah kes Covid-19 di Perlis sejak memasuki Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mendorong kepada peningkatan kapasiti pesakit di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang kini mencecah 101.5 peratus.

Jumlah katil menempatkan pesakit Covid-19 di hospital berkenaan sebanyak 131 berbanding jumlah disediakan, 129 katil sebelum ini.

Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, bagi penggunaan katil pesakit unit rawatan rapi (ICU) pula mencecah 72.7 peratus atau lapan katil daripada jumlah keseluruhan 11 katil.

Menurut beliau, penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kangar pula pada tahap 80.7 peratus iaitu 92 katil daripada keseluruhan 114 katil.

“Sementara itu, bagi PKRC di Pusat Koreksional Perlis pula, penggunaan katil melibatkan pesakit Covid-19 adalah sebanyak 34 katil atau 17 peratus,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, Perlis merekodkan 50 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif di negeri ini adalah sebanyak 302.

Manakala jumlah kes kumulatif di negeri ini telah mencecah empat angka iaitu 1,149 kes selain masih kekal dengan 13 kematian.

Perlis kini berada di dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sebelum ini negeri ini kerap merekodkan sifar kes dan memegang status zon hijau Covid-19 dalam tempoh yang cukup lama.

Tambah Azman, kluster kilang terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes iaitu meliputi sebanyak 19.8 peratus.

“Terdapat dua kluster kilang di negeri ini iaitu kluster Jalan Bukit Keteri sebanyak 33 kes yang bersamaan 10.9 peratus dan kluster Zon Industri Jejawi sebanyak 27 kes (8.9 peratus).

“Masih terdapat tiga lagi sampel yang sedang diuji bagi kluster Zon Industri Jejawi, manakala kluster Jalan Bukit Keteri pula sudah tidak ada.

“Jumlah individu yang sedang dikuarantin adalah 4,951 sehingga kini. Kebanyakan kes aktif di Perlis adalah penularan tempatan yang mana kebanyakkan mereka adalah di tahap satu dan dua,” katanya.

Sementara itu, Perlis mencatatkan Kadar Kebolehjangkitan (RT) Covid-19 tertinggi di negara ini iaitu pada 1.25 berbanding keseluruhan di Malaysia pada 1.05.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, 43 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) yang dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tidak melibatkan kes Covid-19 di negeri ini.

“Varian tersebut merupakan 38 kes varian baharu di negeri Selangor dan lima kes varian baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Perlis hanya mencatatkan lapan kes varian yang merupakan empat kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×