KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja pembaikian paip berukuran 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu kini mencapai kemajuan 70 peratus.
Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Burhanuddin Helmi Mohamed@Harun berkata, proses ketika ini memasuki fasa kritikal dan kemudian pihaknya akan memulakan ujian saliran air dengan tekanan rendah untuk mengesan kebocoran lain.
Katanya, baki kerosakan akan diteruskan selepas ujian pada paip utama itu dilaksanakan.
“Sekurang-kurangnya dua hari diperlukan untuk air memenuhi tangki dan penduduk berhampiran loji utama mungkin mendapat bekalan lebih awal secara berperingkat.
“Kita menjangkakan gangguan bekalan air ini boleh diselesaikan seperti ditetapkan pada Rabu berdasarkan perkembangan semasa,” katanya ketika meninjau kerja-kerja pembaikian bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali di Sungai Terengganu di sini hari ini.
Burhanuddin berkata, 10 pakar menyelam terpaksa melakukan tugasan berkenaan secara lebih berhati-hati kerana tahap penglihatan terhad di samping arus sungai deras.
Krisis gangguan bekalan air terbesar di Terengganu itu membabitkan 28,700 pengguna akaun Satu di daerah ini dan Kuala Nerus bermula sejak awal bulan ini.










