PETALING JAYA: Perdana Menteri yang mendapat mandat ahli Parlimen untuk pembentukan kerajaan campuran tidak boleh membuat pengakuan bahawa beliau adalah Perdana Menteri kerajaan minoriti selepas hilang sokongan.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebaliknya seseorang Perdana Menteri yang tidak mendapat majoriti perlu meletak jawatan terlebih dahulu sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan.
Katanya, terdapat dua langkah bagi membolehkan seorang ahli Parlimen yang tiada sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
“Langkah pertama adalah berdasarkan Artikel 43(2)(a) Perlembagaan yang tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong untuk menjemput mana-mana ahli Parlimen menawarkan dirinya sebagai ketua kerajaan, dengan syarat mendapat mandat daripada majoriti ahli Parlimen.
“Langkah kedua pula, jika tiada sesiapa di antara ahli Parlimen mendapat mandat majoriti, maka seseorang ahli Parlimen itu boleh membawa tawaran kerajaan minoriti bersama bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat, melalui persetujuan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA),” katanya dalam satu menerusi Facebook miliknya hari ini.
Azalina berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan atau mengkehendaki baginda bertindak sebagai orang tengah bagi pihak parti-parti politik untuk tujuan itu.
“Tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong hanya untuk melantik seorang ahli Parlimen yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen. Kedua-dua langkah yang disebutkan itu berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 40(2) Perlembagaan, di mana seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh Jemaah Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri mempunyai keabsahan oleh kerana beliau memenuhi syarat dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara itu memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.
Dalam pada itu Azalina berkata, perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) adalah perjanjian bertulis di antara sebuah parti politik atau beberapa ahli Parlimen bersama pihak kerajaan minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan, rang undang-undang yang mustahak atau undi perbekalan atau belanjawan yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian di Dewan Rakyat.
“Dalam konteks politik semasa, kerajaan boleh mengguna pakai CSA dengan menawarkan sejumlah wang (bekalan) sebagai peruntukan untuk kegunaan pusat khidmat rakyat di kawasan ahli Parlimen.
“Sebagai balasan, ahli Parlimen wajib memberikan sokongan iaitu undi mereka terhadap Perdana Menteri kelapan selaku Perdana Menteri apabila usul-usul dibentangkan, sebagai contoh undi percaya yang akan dibentangkan di Parlimen ke-14 pada September depan. Secara ringkas, kerajaan minoriti ialah sebuah kerajaan diketuai oleh Perdana Menteri yang tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Oleh itu, keabsahan seorang Perdana Menteri kerajaan minoriti amat bergantung pada CSA,” katanya. – UTUSAN











