PETALING JAYA: Kerajaan akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 ( DAN 2.0 ) dalam jangka masa terdekat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, dasar berkenaan berupaya mentransformasi sektor agromakanan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, ini sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.
“Saya menyeru semua golongan terlibat terutama anak muda menyokong usaha kerajaan membawa teknologi moden seperti penggunaan Internet of Things (IoT), teknologi pendigitalan, teknologi mekanisasi dan automasi dalam sektor agromakanan di era IR 4.0 ini.
“Ini dapat melonjakkan sektor agro makanan ke satu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti sehingga ke peringkat pengedaran agar dapat berkembang dengan lebih pantas dan dalam masa yang sama mampu memberi pulangan yang lumayan kepada saudara dan saudari sebagai golongan sasar,” katanya dalam ucapan sempenaSambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2021 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










