Keputusan populis longgar sekatan boleh cetus gelombang baharu - Utusan Malaysia

Keputusan populis longgar sekatan boleh cetus gelombang baharu

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan populis termasuk memberi kelonggaran sekatan kawalan pergerakan Covid-19 dibimbangi boleh mencetuskan satu lagi gelombang baharu jangkitan virus tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan terhadap kelonggaran diberi kepada pengembara warga negara dan bukan warganegara luar negara yang telah lengkap dos vaksin untuk menjalani kuarantin di rumah.

Ujarnya, kerajaan sepatutnya berasa bimbang mengenai kemungkinan ancaman varian lain seperti Delta Plus, Lambda atau varian lain yang dikesan di negara lain.

“Sebab itu kita berasa bimbang pengumuman kelonggaran itu cuma satu lagi pendekatan populis yang terdesak maka terkurang mengambil kira aspek terpenting. Sewajarnya Malaysia tidak berkompromi dalam perkara ini kerana varian sedia ada sudah begitu banyak mengorbankan nyawa rakyat.

“Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga menggesa kerajaan menangguhkan kelonggaran itu sehingga jumlah kes positif berkurangan dengan ketara dengan mengatakan sebarang keputusan untuk memberi kelonggaran itu perlu disokong bukti saintifik,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengembara warga negara dan bukan warga negara yang mempunyai kediaman di Malaysia termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home yang pulang atau tiba dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah meskipun Perdana Menteri mengaku kelonggaran diberi kepada penerima dua dos vaksin pasti mengundang risiko kepada peningkatan kes Covid-19, namun ia tetap diteruskan.

Kata beliau, justeru itu perlu ada satu perincian mengenai mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan yang rapi untuk melindungi mereka diberi kelonggaran dan orang di sekeliling.

“Perlu diingat penerima dua dos dikatakan masih boleh menjangkiti dengan kadar kebolehjangkitan kes positif sebanyak 50 peratus. Ini bermakna mereka yang belum divaksin berisiko mendapat jangkitan daripada penerima vaksin lengkap yang tidak menunjukkan gejala ketika melancong dan sebagainya.

“Seperti dimaklumkan beberapa hari lalu cuma 65.6 peratus individu dewasa telah terima dos pertama vaksin dan hanya 35.3 peratus individu dewasa telah lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Walaupun Perdana Menteri meberi jaminan agensi bertanggungjawab akan mempergiatkan aktiviti pemantauan ke atas kelonggaran diberikan. Bagaimanapun tidak dinyatakan secara jelas bagaimana mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan itu akan dipergiatkan.

“Kita masih ingat jangkitan Covid-19 tetap bertambah di sebalik aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, darurat dan sekatan penuh pergerakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN