Keluarga mohon kesan warga emas hilang - Utusan Malaysia

Keluarga mohon kesan warga emas hilang

CHONG Boon Poh (kiri) bersama Andrew Chen menunjukkan gambar Lau Yuen Cheng yang kini tidak dapat dikesan setelah hilang sejak Khamis lalu di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli keluarga kepada seorang lelaki berusia 72 tahun merayu bantuan orang ramai untuk mengesan warga emas tersebut yang didakwa menghilangkan diri sejak tiga hari lalu.

Menurut jurujual, Chong Boon Poh, 38, kali terakhir bapanya, Lau Yuen Cheng @ Chong Kai Ling kelihatan adalah pada waktu pagi, Khamis lalu sebelum meninggalkan rumah mereka.

“Kali terakhir saya bersama bapa ketika kami sekeluarga sedang sarapan bersama-sama pada pagi itu. Sesudah makan, saya, isteri dan anak-anak masuk ke bilik masing-masing.

“Bagaimanapun, apabila saya keluar, bapa sudah tidak lagi kelihatan di rumah malah motosikalnya juga sudah tidak ada,” katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen di sini hari ini.

Tambah Boon Poh, mereka sekeluarga amat risau dengan keselamatan bapanya yang tidak pulang ke rumah lebih-lebih lagi warga emas itu mengalami simptom hilang ingatan sejak dua bulan yang lalu.

“Dia kebiasaannya akan ke kedai kopi berhampiran untuk bertemu rakannya. Namun, sejak Covid-19 melanda, dia jarang-jarang keluar rumah.

“Kalau dia keluar rumah ketika ini, hanyalah ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan kira-kira 30 minit sahaja. Tapi kini dia sudah tidak pulang ke rumah,” katanya yang tinggal di Taman Kebun Teh, di sini.

Boon Poh berkata, dia sudah pergi ke merata-rata tempat di bandar raya ini bagi mencari bapa termasuk ke klinik berhampiran rumah mereka dan juga Hospital Sultanah Aminah (HSA), tetapi tidak berupaya menjejakinya.

“Saya ada juga menghubungi rakan-rakannya namun tidak ada dalam kalangan mereka melihat kelibatnya dalam masa terdekat.

“Oleh kerana risau akan keselamatan bapa dan memikirkan perkara buruk yang boleh berlaku terhadapnya, maka saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Sentral,” jelasnya.

Kata bapa kepada dua orang anak itu, dia khuatir bapanya telah merayau ke kawasan yang jauh dari rumah hingga tidak tahu jalan pulang, lebih-lebih lagi dengan keadaannya kini yang mudah lupa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya