PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kelonggaran bagi rakyat selesai menerima suntikan vaksin merupakan satu tanda kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat untuk mengekang penularan Covid-19 yang membunuh lebih 11,162 rakyat Malaysia dan 1.3 juta jangkitan.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, meskipun orang ramai berasa lega dengan kelonggaran itu namun peringatan dari pakar kesihatan awam berkenaan sistem kesihatan awam di negeri terlibat wajib dipandang serius.
“Ini termasuklah menambah peruntukan bagi rawatan Covid-19 khususnya meningkatkan jumlah katil unit rawatan rapi (ICU), pemekat oksigen (oxygen concentrator), menjalankan saringan ujian secara awam mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta keperluan lain di negeri Fasa 2 sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang baharu.
“Majlis Presiden PH juga menekankan bahawa jumlah vaksin dos pertama di negeri-negeri wajib dipertingkat segera sebelum Hari Kebangsaan pada 31 Ogos terutama di Sabah yang merupakan negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.
“Memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus Covid-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri Fasa 2,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam pada Majlis Presiden PH berpandangan prosedur operasi standard (SOP) pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikemaskini dan kuat kuasa dengan lebih tegas memandangkan virus Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan (droplet) atau aerosol.
Oleh demikian, insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi.
Selain itu, PH mengesa kerajaan untuk membantu premis-premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan yang sudah menerima dua dos vaksin juga perlu memastikan kesemua pekerja mereka telah menerima sekurang-kurangnya vaksin dos pertama.
“PH mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan secara langsung yang lebih besar iaitu sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, serta membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP atau ‘total lockdown’ sejak 1 Jun lalu.
“Tanpa suntikan tambahan RM45 bilion ini, jemputan untuk hanya seorang wakil Pakatan Harapan ke dalam Majlis Pemulihan Negara adalah tidak bermakna dan ditolak kerana ia bagai melepaskan batuk di tangga untuk mengesahkan dasar ekonomi dan pandemik Covid-19 oleh Kerajaan PN yang telah gagal,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE










