Kelantan catat kluster Covid-19 terbanyak - Utusan Malaysia

Kelantan catat kluster Covid-19 terbanyak

- GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan pertambahan 31 kluster berkaitan Covid-19 dengan 18 kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja melibatkan empat di Johor, Kelantan (3), Selangor (3), Melaka (2), Kuala Lumpur (2) manakala Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, masing-masing satu kluster.

Beliau berkata, Johor, Tapak Bina Jalan Anggun di Johor Bahru (218), Jalan Rami Empat di Muar (37), Jalan Tembaga Empat di Johor Bahru (15), Jalan Ekoperniagaan Satu di Johor Bahru (7); Kelantan, Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu (10), Industri Kampung Telekong di Kuala Krai (17), Seksyen Lapan Jalan Pintu Pong di Kota Bharu dan Tumpat (14) dan Selangor, Industri Lorong Petai di Klang (88), Industri Bukit Naga di Klang (50), Industri Batu Sembilan Kapar di Klang (22).

Melaka katanya, Industri Solar Valley di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin (138), Industri Jalan PBR di Melaka Tengah (124); Kuala Lumpur, Jalan Gangsa di Cheras (23), Jalan Helang Belalang di Kepong (20); Pahang, Industri Muadzam Shah di Rompin (24); Pulau Pinang, Lorong Mak Mandin Tiga di Seberang Perai Utara (22); Sabah, Batu 27 Sook di Keningau (55) dan Sarawak, Sentosa di Kuching (14).

“Kluster komuniti, enam di Kelantan, Kampung Lela Jasa di Kuala Krai (35), Kampung Kual Gunong di Bachok (28), Kampung Batu Lapan Kadok di Kota Bharu (25), Lorong Taman Nik di Kota Bharu (14), Kampung Kuchelong di Bachok (13), Taman Ihsan di Pasir Mas (6); dua di Sarawak, Kampung Tanjong Bako di Kuching (24), Braang Payang di Kuching (27); Johor, Taman Puteri Kluang di Kluang (85); Selangor, Air Manis di Sabak Bernam (16) dan Terengganu, Kampung Gelam Mas di Besut (38).

Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi pula, Kedah, Dah Persiaran SP di Kuala Muda (47) dan Johor, Jalan Dikon Tiga di Kluang (18),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 20,708 kes berbanding semalam, 19,991 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 17,973 kes dengan 211 kematian dicatatkan dan 1,053 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 546 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 233,358 kes aktif.

Katanya, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 6,921 kes diikuti Kuala Lumpur (2,065), Johor (1,693), Kedah (1,534), Sabah (1,514), Pulau Pinang (1,385), Kelantan (1,284) dan Negeri Sembilan (1,015).

“Lima negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Perak (828), Melaka (636), Sarawak (634), Terengganu (613) dan Pahang (585).

“Hanya satu wilayah dan satu negeri mencatatkan kes dua angka Putrajaya (41) dan Perlis (29) manakala Labuan hanya tiga kes,” katanya.

Mengulas mengenai 211 kematian, beliau berkata, Selangor terus kekal menjadi penyumbang terbanyak iaitu 79 kes, 41 kes di Kuala Lumpur, 21 kes di Kedah, 16 kes di Johor, 13 kes di Sabah, masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan dan Terengganu, masing-masing tujuh kes di Pulau Pinang dan Perak, enam kes di Melaka, serta lima kes di Pahang.

“Kematian melibatkan 114 lelaki dan 97 wanita dengan 27 warga asing, 16 kematian di rumah manakala 165 pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN