PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion dan melibatkan 3,632,003 kes sepanjang tahun ini.
LDHN berkata, jumlah itu juga merangkumi RM15 bilion pada 1 Januari-8 Disember, 9-15 Disember 2025 (RM1 bilion), 16-18 Disember 2025 (RM1 bilion), 19-22 Disember 2025 (RM1 bilion) dan 23-24 Disember 2025 (RM1 bilion).
Katanya, LHDN selesai memproses dan mengkreditkan keseluruhan peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 billion yang melibatkan 110,074 kes bagi tempoh 9 hingga 24 Disember tahun ini.
“Jumlah keseluruhan bayaran balik cukai yang telah diproses mencecah RM19 bilion membabitkan 3,632,003 kes di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Disember ini.
“Bagi tempoh 1 Jan hingga 8 Disember, sejumlah RM15 bilion telah diproses dengan lebih tiga juta kes direkodkan, manakala bagi tempoh 9 hingga 15 Disember, 16 hingga 18 Disember, 19 hingga 22 Disember dan 23 hingga 24 Disember, masing-masing amaun berjumlah RMl bilion telah diproses,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 7 Disember lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepat pembayaran yang masih tertunggak kepada pembayar cukai.
Menurut LHDN, RM1 bilion pertama digunakan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik melebihi tiga tahun, manakala baki RM3 bilion diperuntukkan untuk kes berusia dua hingga tiga tahun dengan keutamaan diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Keutamaan ini diberikan bagi memastikan pembayar cukai serta syarikat PKS menerima bayaran balik lebih awal bagi membantu aliran tunai mereka,” katanya.
LHDN turut menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini maklumat akaun bank bagi memastikan proses pengkreditan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Ini kerana, sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses akibat kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul, selain melibatkan kes pertikaian mahkamah, tunggakan cukai dan syarikat yang digulung atau dibubarkan.
“LHDN terus komited memastikan semua bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat serta memberi tumpuan kepada amaun tertunggak yang tinggi dan melibatkan PKS,” ujarnya. – UTUSAN







