PETALING JAYA: Jemaah Menteri yang menunjukkan prestasi terbaik diharap dapat dikekalkan demi memastikan segala polisi cetusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaksanakan secepat mungkin.
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berharap Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera melantik ahli-ahli Kabinet bagi meneruskan usaha dan perancangan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19.
Beliau menambah, Pintar yakin Ismail Sabri akan memastikan pasukan Kabinetnya berintegriti dan tidak terlibat dengan masalah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.
“Usaha yang dilakukan sebelum ini termasuk program vaksinasi perlu dipertingkat ke setiap negeri bagi memastikan mencapai imuniti kelompok dengan cepat.
“Dengan cara ini kita akan melihat kembali pembukaan sektor ekonomi, sektor sosial serta sektor-sektor lain dapat dilakukan sebaiknya. Pintar bersyukur kerana proses peralihan berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan mengajak seluruh rakyat Malaysia menghormati dan menjunjung kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana menyelesaikan kemelut politik tanah air terutama berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Perdana Menteri yang baharu dalam tempoh agak singkat dengan mengambil masa hanya kira-kira lima hari sahaja setelah Muhyiddin meletak jawatan Isnin lalu.
“Hakikat ia diselesaikan dalam keadaan yang cepat menunjukkan keprihatinan baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memastikan rakyat dan negara dapat mengharungi tempoh ini dalam keadaan aman dan damai.
“Peranan yang dimainkan baginda adalah satu perkara yang sangat penting dalam menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan prinsip keluhuran Perlembagaan serta undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE









