PETALING JAYA: DAP menegaskan sebarang kegagalan membentangkan undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat menentang titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya mengingatkan Ismail Sabri jika beliau gagal berbuat demikian, ia sekali gus akan merosakkan kredibiliti dan kepercayaan terhadap dirinya.
“Tiada alternatif atau kompromi untuk mengadakan usul undi percaya di Parlimen terhadap pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Jelas bahawa Parlimen telah ditangguhkan satu minggu untuk membantu Ismail Sabri yang berada di bawah kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19. Namun jika tidak ada usul undi percaya, apa gunanya atau alasan penangguhan Parlimen selama satu minggu?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang sepatutnya dijadualkan pada 6 sehingga 30 September telah dipinda ke 13 September hingga 12 Oktober.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat bertarikh 30 Ogos.
Surat itu juga menampilkan takwim mesyuarat dengan urusan majlis dimulakan dengan Titah Diraja di Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen pada 13 September dan kemudian diikuti dengan usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja pada keesokkan harinya sehingga 21 September.
Urusan majlis kemudian diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada 22 dan 23 September.
Selain takwin mesyuarat juga memaklumkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 4 Oktober atau minggu keempat mesyuarat.
Mesyuarat itu berakhir pada minggu kelima dengan urusan rang undang-undang dan urusan kerajaan lain pada 11 dan 12 Oktober.